Rabu, 05 Februari 2014

Muhyiddin Anggap Mukhriz ‘Menang Dalam Kekalahan’


KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan yang dicapai Datuk Mukhriz Mahathir sebagai ‘menang dalam kekalahan’ kerana jumlah sokongan yang diperoleh agak besar.

“Jumlah undi yang beliau dapat berbeza hanya sembilan bahagian sahaja. Jadi bagi saya ini satu kejayaan peribadi.

“Walaupun kalah daripada satu sudut, tapi dia dapat melihat sendiri walaupun buat pertama kali bertanding, tapi dia hampir menang.

“Saya juga waktu pertama kali bertanding naib presiden saya kalah juga, jadi ini biasa. Jadi, tidak harus orang kata membantutkan semangat beliau,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Mukhriz ialah pemimpin yang berkaliber dan beliau yakin keputusan semalam boleh menjadi kayu pengukur bahawa masa depan politik Menteri Besar Kedah itu masih cerah.

“Mukhriz seorang pemimpin yang berkaliber dan juga pelapis bersama Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin. KJ pun pemimpin pelapis,” katanya.

Muhyiddin turut menolak spekulasi yang menyatakan status Facebook palsu yang didakwa miliknya menjadi punca kepada kekalahan Mukhriz pada pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO semalam.

Muhyiddin  berkata, usaha itu dilihat sebagai mahu mencemari nama baiknya dan juga Mukhriz.

“Saya tak fikir begitu, saya pun dah jelaskan yang ia langsung tiada kaitan dengan saya, dan itu merupakan satu usaha dilakukan untuk mencemar bukan sahaja nama baik Mukhriz tapi nama baik saya.

“Siapa pun yang baca mengenai benda itu akan tahu ini tidak akan datang daripada Timbalan Presiden, saya tak fikir status Facebook itu memberi kesan, perwakilan bijak menilai,”


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Bacaan Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger