Selasa, 24 Desember 2013

Sultan Johor Mulakan Kembara Mahkota Johor


PASIR GUDANG – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) Bermotosikal 2013 bagi berjumpa rakyat jelata di 10 daerah di negeri itu.

Kembara itu yang bermula di pekarangan bangunan Menara Aqabah di sini, melibatkan perjalanan sejauh 1,100 kilometer, turut disertai Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim dan Tunku Temenggong Tunku Idris Iskandar serta kerabat diraja lain.

Perlepasan KMJ selama empat hari itu dilakukan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Mohamad Aziz pada pukul 9 pagi.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil dan Anggota Parlimen Pasir Gudang Normala Abdul Samad.

Mohamed Khaled dalam ucapannya sebelum itu, berkata KMJ yang dianjurkan sejak 2001 dapat merapatkan hubungan antara pihak istana, kerajaan negeri dan rakyat jelata.

“Dengan terhasilnya hubungan dua hala antara pihak istana dan rakyat menerusi program KMJ ini merupakan bukti yang nyata taat setia rakyat kepada sultannya.

“Lebih daripada itu, kehadiran program ini secara langsung mampu memperkukuhkan institusi raja berperlembagaan yang wajib dilindungi dan dipelihara,” katanya.

Hari ini konvoi dengan 393 peserta itu dijadualkan singgah di Kampung Sungai Tempayan, Pekan Nenas dan Dataran Datuk Jalok, Benut di Pontian sebelum ke Senggarang, Batu Pahat untuk berehat sebentar.

KMJ kemudian meneruskan perjalanan ke Desa Sri Banang, Minyak Beku; Sungai Simpang Kiri Pekan Parit Sulong (Batu Pahat) dan Panchor (Muar) dan menamatkan kembara hari pertama di Istana Tanjung Pagar.

Pelbagai program dirancang sempena KMJ itu seperti penyampaian sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan serta santapan bersama rakyat bagi mewujudkan perpaduan dan permuafakatan seiring dengan tema KMJ iaitu ‘Kembara Ke Arah Perpaduan’.

Rakyat juga boleh mengikuti laporan dari semasa ke semasa KMJ menerusi laman web www.kelabmediajohor.com dan Twitter @kelabmediajohor.- BERNAMA


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Bacaan Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger