Selasa, 31 Desember 2013

Prihatin Masalah Jantung Di Hari Lebaran

Prihatin Masalah Jantung Di Hari Lebaran

JIKA anda berumur 40 tahun ke atas dan mudah sangat mengalami sesak nafas ketika bersenam, berjalan kaki atau ketika menaiki tangga, anda dinasihatkan agar segera pergi menjalani pemeriksaan jantung.
Lebih-lebih lagi di Hari Raya ini. Dengan makanan di sana sini, pastinya ia akan memudahkan kita mengalami masalah jantung jika kita tidak berhati-hati tentang apa yang kita makan.
Pakar Bedah Kardiothorasik Institut Jantung Negara (IJN) Dr Jeswant Dillon berkata tanda-tanda itu merupakan petunjuk awal seseorang itu mungkin mengalami masalah pada injap jantung atau mengalami masalah koronari.
TANDA-TANDA AWAL
Jika anda ada kemungkinan terkena penyakit jantung, anda akan berasa sakit di bahagian dada sebelah kiri dan kerap kali susah menarik nafas.
Menurut Dr Jeswant, keadaan jantung berbeza-beza mengikut individu tetapi mereka yang berisiko berdepan masalah jantung ialah mereka yang berumur 40 tahun ke atas bagi lelaki dan 45 tahun ke atas bagi wanita.
“Kadang-kadang bukan sahaja petunjuk itu dirasai ketika menjalani senaman tetapi juga ketika hendak tidur dengan kedudukan bantal menyebabkan mereka sakit dada dan orang seperti ini mungkin mendapat serangan jantung,” katanya kepada Mynewshub.my
Beliau memberi peringatan kepada individu yang mengalami tanda-tanda sebegini supaya membuat pemeriksaan jantung agar masalah pada jantung dapat dikesan di peringkat awal.
AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT
Tidak dinafikan, menurut Dr Jeswant, cara untuk mencegah masalah pada jantung ialah mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman yang konsisten dan menjalani aktiviti fizikal untuk menguatkan jantung.
Pada sambutan Aidilfitri kali ini juga elok jika diamalkan pengurangan garam dan gula dalam pemakanan kita. Pengurangan gula dalam minuman adalah langkah paling sesuai dan berkesan dalam menangani risiko diserang masalah jantung.
“Mulakan pada Aidilftri kali ini dengan belajar mengurangkan jumlah gula dalam minuman kerana ia lebih sihat untuk jantung anda,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai boleh mendapatkan pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) yang menawarkan kadar rawatan dengan kos yang jauh lebih rendah.
Bagaimanapun menurut beliau, biarpun kerajaan telah menyediakan teknologi canggih untuk mengatasi masalah serangan jantung di negara ini, adakah sikap masyarakat yang peka dengan perkembangan kesihatan diri mereka sekaligus menghadirkan diri menjalani pemeriksaan. – Mynewshub.my
OLEH : IBNU K


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Bacaan Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger