Senin, 30 Desember 2013

Mengapa tidak rujuk Surendran ke JK Hak Parlimen

Harakahdaily 

Hazayani Zakaria, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran seharusnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum dijatuhkan hukuman, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan keputusan Speaker menggantung Surendran selama enam bulan adalah tidak demokratik kerana Surendran tidak diberi peluang membela diri.

"Saya kesal atas pengendalian tidak demokratik speaker berkaitan usul dan penggantungan ke atas MP Padang Serai.


"Sepatutnya Surendran dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Kenyataan dibuat Surendran di luar dewan. Sepatutnya dia dirujuk sebab tak ada kepastian sama ada betul atau tidak kenyataan beliau.

"Sepatutnya dia dirujuk ke Jawatankuasa Kebebasan Parlimen dan pihak media yang membuat laporan yang menjadi rujukan kerajaan untuk mengemukakan usul perlu dipanggil untuk menunjukkan bukti bahawa Surendran mengeluarkan kenyataan itu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.


Speaker hari ini meluluskan usul menggantung Surendran selama enam bulan atas tuduhan menghina Speaker Dewan Rakyat.

Usul yang dibawa Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri itu berkait tindakan Surendran ketika mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, yang didakwa menyatakan bahawa Dewan Rakyat tidak demokratik dan Speaker berat sebelah ekoran tindakan Speaker mengarahkannya keluar dewan Selasa lalu.


Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Dewan Rakyat diperalat untuk tidak menghormati peraturan yang dibuat.

"Saya lihat Parlimen diperalatkan untuk tidak menghormati peraturan, perkara ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Gelang Patah dan Gombak, keputusan tafsiran oleh Speaker cukup jelas bahawa mesti ada cukup waktu usul dikemukakan.

"Tetapi dalam kes ini diketepikan, tetapi bagi saya itu soal teknikal, soalnya apakah dengan mudah boleh digantungkan seorang Ahli Parlimen yang diterima oleh rakyat, semata-mata dia Surendran menyatakan pandangannya," katanya.


Beliau juga menyanggah tindakan speaker yang menjatuhkan hukuman ke atas Surendran hanya berdasarkan laporan media.

"Pandangannya di luar tidak disenangi oleh Speaker, semak dulu, siapa yang buat keputusan berdasarkan laporan media?



"Bawa kepada peringkat jawatankuasa tetapi ini tidak berlaku, jadi pada saya cara Umno-Barisan Nasional mengendalikan Parlimen ini memang memperbodohkan sistem demokrasi dalam negara ini," katanya.


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Bacaan Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger